Thursday 20 June 2013

Tawakal Yang Tidak Berbekal

Assalamualaikum

Entry daripada majalah Solusi. Have a look! :)


Tawakal harus berbekal. Tawakal itu sifatnya dinamik dan produktif, bukan reaktif, apalagi pasif. Sering diungkap oleh orang bijaksana: "Tuhan telah menyediakan rezeki untuk burung, tetapi ia perlu terbang untuk mendapatkannya."

Tingkat tawakal juga menentukan rezeki seseorang, bukan sahaja kudrat, usaha dan kegigihannya. Ini bukan bererti orang bertawakal tidak berusaha. Tetapi orang bertawakallah yang paling tinggi penyerahan dirinya kepada Allah sekaligus dia juga yang paling gigih berusaha.

Berusaha itu perintah Allah. Berserah kepada Allah juga perintahNya. Maka orang bertawakal itu jaguh dalam kedua-duanya. Hatinya terikat dengan Allah, kudratnya fokus kepada usaha.


Malangnya terdapat dua bentuk ekstrem yang sedang berlaku dalam kalangan umat. Satu kalangan yang hanya berbekalkan tawakal. Satu golongan lagi yang langsung tidak bertawakal.

Golongan yang hanya berbekal tawakal begitu beku dalam tindak tanduk mereka. Mereka tidak berusaha langsung untuk mencapai tahap kehidupan yang lebih baik, sebaliknya berpeluk tubuh seolah-olah menunggu sahaja rezeki jatuh dari langit. Keimanan kepada qadak dan qadar menjadi "escapism" untuk tidak berusaha.

Saidina Umar Al-Khatab pernah singgah di sebuah masjid. Di situ beliau melihat sekumpulan manusia yang asyik beribadah, tidak keluar bekerja.

"Mengapa kamu tidak keluar bekerja?"Saidina Umar bertanya.
"Zuhud", jawab mereka.

Saidina Umar berang lantas berkata : " Apa kamu fikir emas akan turun dari langit?" Lalu mereka digesa untuk bekerja mencari nafkah diri dan keluarga.

Manakala golongan kedua pula hanya berpaksikan usaha lahiriah tanpa bergantung harap kepada Allah. Betapa ramai cendekiawan yang menafikan kewujudan Tuhan? Malah dalam kalangan umat Islam sendiri, ramai orang yang  bergantung kepada usaha diri tanpa menguatkan hubungan dengan Allah. Hiduplah mereka tanpa solat, doa dan tawakal.

Golongan ini sentiasa diambang bahaya. Jika berjaya, kaya dan berkuasa, dia lupa diri, takbur dan zalim. Sebaliknya jika gagal, miskin dan lemah; dia rasa putus asa, kecewa dan hina.

Solusi edisi ke 56 kali ini datang dengan peringatan "Berbekal Tawakal". InsyaAllah dengan tawakal, hidup akan menjadi tenang walaupun dalam ujian yang sentiasa melanda!.

Ustaz Pahrol Muhd Juoi
Solusi Isu -56
M/s 6


No comments:

Post a Comment

Sila la komen :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...